Monday, July 27, 2009

ADA SATU CERITA


Baca petikan dibawah dengan gaya membaca cerpen ya...-

Betis kanan Farhanz mula menunjukkan tanda2 awal untuk pulih.. walaupun nanah-nanah kecil masih lagi kelihatan. Luka asalnya tidaklah seteruk mana, tetapi disebabkan dia memakai seluar panjang untuk ke sekolah dan kelas fardu ain. Aku terpaksa menampal lukanya dengan kepingan gauzhe bagi menghalang luka bersentuhan dengan fabrik seluar sekolah yang kasar itu. Hasilnya, luka semakin besar dan antiseptik dettol yang menyalut luka tidak memberi kesan apa-apa! Sabtu lepas, bibik menutup luka dengan plastik supaya air tidak terkena pada lukanya sewaktu mandi. Pada fikiranku pasti tampalan plastik itu dibuang selepas mandi, tapi telahanku tidak tepat. Dengan lalainya aku meninggalkan anakku dirumah emak setelah pulang dari kenduri aqiqah anak sepupuku disebabkan aku bertugas petang di Menara Telekom.

Ahad yang mendamaikan aku menjenguk anakku di rumah emak sementelah keluarga abang Udaku dengan isterinya yang sarat mengandung anak kedua bermalam disana. Aku tidak sempat bertemu dengan anak saudaraku, Siti Hajar yang dibenarkan pulang akibat penutupan sekolahnya buat sementara waktu akibat jangkitan virus H1N1 yang semakin berleluasa sekarang ini. Abang Ngah pulang awal ke Penang bagi mengejar waktu untuk menghantar anak sulungnya pulang ke asrama pula. Berbual dengan ahli keluarga memang menyeronokkan tambahan lagi dengan kehadiran si comel Lailatul yang tidak betah untuk duduk diam. Ada saja yang ingin dibuatnya, nasib baiklah Farhanz pandai melayan adik kecil walaupun dia tidak beradik.

Dalam seronok bercerita, aku meminta anakku menyelak seluar panjangnya untuk aku melihat keadaan lukanya. Makin parah, hati berkata-kata. Tanpa membuang masa kami tiga beranak ke poliklinik berdekatan dan malangnya doktor pakar kulit bercuti setiap hujung minggu. Mahu tidak, kami tiada pilihan. Mungkin doktor ganti juga sehebat pakarnya.

Hampir setengah jam menunggu, Farhanz dipanggil masuk. Pada mulanya ayahnya keberatan untuk menyertai kami, tetapi sebagai seorang ibu aku mahu kami bertiga berkongsi saat-saat yang agak menakutkan ini. Seorang doktor muda yang pertama kali bertemu bertanyakan keadaan anak kami. Bila kaki seluar diselak, terus doktor muda tersebut meminta aku membawa Farhanz ke ruang sebelah untuk rawatan lebih lanjut.

"Ada cuci luka?"
"Ada" balasku pendek.
"Antiseptik?"
"Dettol" ujarku. Sememangnya itulah yang ada didalam first aid dirumahku. Aku fikir itulah yang terbaik.
"Perlu cuci dengan kalium permangnat ke?" rujukku pada cairan berwarna ungu yang selalu digunakan suatu ketika dahulu.
"Tidak perlu, luka macam ini tidak boleh kena air selalu" balasnya sambil berjalan ke ruang khas disebelah biliknya.

"Adik baring ye... sengetkan badan" sambil meletakkan alas diantara tilam dan kaki. Farhanz kelihatan terpinga-pinga, inilah kali pertama dia menerima rawatan sedemikian. Aku membantunya baring, menghilangkan sedikit resah dihatinya. Kedua-dua tangannya kupegang.

"Fa'an baring tau doktor nak cuci luka, kalau sakit nanti jerit aje.. takpe" kataku. Kami bertatapan, jelas riak diwajahnya menunjukkan ketakutan. Aku sebagai ibu pastinya tidak mahu dia merasakan kesakitan itu, senyuman yang semanis mungkinku beri agar rasa gundah dihatinya berkurangan.

Aku bukanlah bekas pelajar perubatan yang tahu serba-serbi tentang medikasi. Jadi aku mengharapkan servis yang terbaik dari seorang yang dikataka serba tahu dalam bidang ini. Yang terbaik, itulah yang selalu kita mahukan untuk yang tersayang, bukan. Sebaik sahaja doktor meletakkan cairan putih dan terus mencuci luka dibetis anakku terusan Farhanz menunjukkan riak muka menahan kesakitan.

"Boleh tahan tak?" aku bertanya pendek. Farhanz menganggukkan kepalanya walaupun muka berkeriut menahan sakit. Genggaman tangannya semakin kuat dan aku membenarkannya. Biarlah dia melempiaskan sedikit sebanyak kesakitannya kepadaku. Suamiku yang pada mulanya berada disisi kelihatan mundar mandir. Entahlah mungkin dia sendiri tidak tahan melihat keadaan yang berlaku dan aku andaikan itulah puncanya dia hampir tidak mahu menyertai kami. Farhanz mula menangis bilamana doktor mula membuang lapisan luka dan darah mula membuak-buak keluar melalui liang-liang roma. Semakin kuat dia menangis semakin kuat genggaman tangannya.

"Fa'an nak jerit pun boleh, takpe ibu ada... " pujukku. Aku memerhatikan ketelitian doktor tersebut mencuci luka, pastinya dia juga cuba untuk mengurangkan kesakitan yang ada. Cairan putih dan gauze bertukar ganti. Setiap kepingan nanah yang cuba dibuang diiringi dengan tangisan. Untuk menghilangkan rasa sakit, doktor mula berbual-bual dan disahut oleh anakku.

"Lama lagi ke?"
"2 more minutes" balas doktor India tersebut. Sambil itu aku memalingkan muka memandang suamiku. Dia sendiri kelihatan resah. Mungkin kami jarang menghadapai keadaan begini, pasti sedikit sebanyak sakit itu dirasai.
Esakan dan tangisan Farhanz semakin kuat, terhenjut-henjut badannya menahan kesakitan. Muka disembamkan ke badanku. Terasa basah bajuku dengan kesan lelehan airmatanya. Kalaulah aku boleh merasai kesakitan itu.

Sebelum menjalani rawatan, sambil menunggu nombor giliran kami anak beranak sempat bergurau-senda. Suamiku memang bijak merubah suasana yang agak genting ke suatu ruang yang lebih relaks. Sambil memandang poster perubatan yang tergantung di dinding, dia mencipta ayat-ayat lucu yang membuatkan kami bertiga ketawa lepas tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Farhanzlah yang paling lantang tawanya. Bila melihat aku memandangnya tanpa kerlipan mata, dia akan menampar-nampar pipinya bagi menghilangkan perasaan lucu itu.

"Tahu tak orang banyak ketawa ni apa jadi..." aku mula menggunakan pendekatan psikologi.
"Tahu, nanti ilmu lari.." ujarnya. Kami diam sebentar, dan melarikan pandangan mata dari bertembung dengan suamiku yang juga ayahnya. Kemudian aku melihat Farhanz menampar-nampar lagi pipinya itu. Dalam diam aku sendiri tidak tahan menahan tawa sebenarnya tetapi di sebabkan nama Farhanz akan dipanggil bila-bila masa saja lagi, aku membuang pandang ke luar. Malangnya hanya seketika sahaja tawa lepas kami dapat ditahan, aku, Farhanz dan suamiku ketawa lagi bila kami berpandangan sesama sendiri.

"Lama lagi ke?" Farhanz mula menyoal kembali diiringi sendu. Mungkin rasa sakit itu tidak tertanggung olehnya. Aku memandang ke arah luka yang sedang dicuci dan mengharap jawapan dari doktor muda itu.
"One more minute" Luka yang anggarannya sepanjang 2 1/2" kelihatan lebih bersih dari yang sebelumnya. Hampir selesai, hatiku bersuara.
"Ibu, satu minit tu lama lagi tak?" Soalan yang bagus untuk dijawab.
"Satu minit tu, Fa'an kira nombor satu hingga enam puluh" Ku kira jawapanku itu boleh melegakan hatinya.

Sesuatu yang tidak pernah bermain dibenakku Farhanz mula mengira nombor-nombor diiringi sendu dan tanggisan. Badannya masih lagi terhenjut-henjut menahanan tangis. Dia benar-benar membilang waktu! Aku mula rasa lucu lalu memandang doktor dan suamiku. Kami ketawa. Anak kecil ini tidak menghiraukan tawa kami terus mengira.
Seketika, sendu anakku hilang keadaan menjadi sunyi. Aku tunduk sedikit untuk melihat keadaannya.

"Fa'an ok ke?" aku mula cuak dengan keadaan ini.
"lima puluh dua, lima puluh tiga..." anakku mula menyambung kiraanya itu. Kami terus ketawa, sesuatu yang agak melucukan!

Ajaibnya kiraan yang ke enam puluh, krim putih proses yang terakhir disapukan keatas luka anakku.
"Ok, done" doktor muda menyiapkan tugasannya. Hilang tangisan, sendu dan henjutan badan. Senyap. Anakku terus bangun tanpa lelehan airmata lagi. Diwajahnya terpancar wajah lega yang amat sangat.

Kami disarankan untuk membawa Farhanz ke poliklinik setiap hari untuk proses 'dressing' sehinggalah lukanya kering. Ermm.. nampak gaya Farhanz terpaksa ponteng sekolah kerana tiada ubat sapu diberikan, yang ada hanyalah antibiotik dan ubat demam. Untuk mengurangkan gelesan antara betis dan seluarnya, Farhanz terpaksa kami rehatkan sehari dua ini. Faham sajalah anak-anak lelaki bertemu kawan, tentu ada saja aktiviti yang ingin dilakukan bersama.

Pagi ini suamiku pula dibawa ke poliklinik yang sama akibat infeksi dibahagian dalam telinga yang membengkak dan diikuti dengan demam. Aku harap keadaan ini tidak berpanjangan sebab aku rasa sakit kepala Jumaat lepas mungkin berulang kembali.




2 comments:

Ana on July 28, 2009 at 1:32 PM said...

napa dengan anak akak tue?? luka kenapa kakkk?? sian dia..
baru ana tau nama dia farhan yekk..sama dengan nama adik ipar.. ana ingat nama dia iman..hehehe..

A.D@M.K Hamdan on August 12, 2009 at 11:28 AM said...

slm..baru aku tau nko berbakat gak buat novel ek...bravo..

They are Great!

 

Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Designed by SimplyWP | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez