Wednesday, January 6, 2010

K.E.H.I.L.A.N.G.AN


Mungkin bagi yang membaca tidak akan terasa apa-apa, tapi bagi aku memang payah untuk melepaskan.

1988 aku mula bersekolah menengah di Jalan Hulu Kelang, disitu aku bertemu dengannya. Tiga tahun berturut dia menjadi Guru kelasku, Bahasa dan Seni serta tidak ketinggalan penasihat Kelab Hobi. Akulah orangnya yang duduk paling hadapan mengadap mejanya selama itu. Orangnya amat baik, sporting dan kelakar. Aku, Fiona dan Marlina.. berturut-turut duduk dalam satu barisan. Kami digelar 'nanana' (merujuk pada hujung nama kami) dan yang indahnya kami bertiga dipilih untuk menjadi pengawas sekolah hasil pengamatan guruku yang satu ini.

Bila ditahun keempat, aku meninggalkan SMHK bagi mencapai cita-cita untuk ke sekolah berasrama. Hubungan kami terputus. Mungkin kerana perpindahan aku agak tergesa-gesa dan mungkin juga pada waktu itu aku amat teruja dengan perubahan yang aku akan tempuhi sehinggakan aku terlupa pada para guru terutama sekali guruku yang satu itu.
Aku jadi lupa padanya sehinggalah pada suatu hari aku membelek gambar keluarga classmate-ku di ITM Manjung.

"Eh.. ini cikgu aku"
"Eh, itu kakak aku lah"

Hahaha... betapa kecilnya dunia ini, tanpa disedari aku berkawan dengan adik guruku sendiri. Bermula dari situ, hubungan aku dan guruku bertaut kembali. Sungguh! Dia tidak pernah melupakan aku! Malah dia masih ingat lagi namaku dan perangaiku di sekolah dulu. Hubungan aku dan rakanku menjadi bertambah erat sejak itu. Hampir kesemua rumah ahli keluarganya aku melepak termasuklah rumah guruku itu yang pada masa itu beliau tinggal di BBS dan Yaya anak sulungnya (1988 masih dlm kandungan ibunya) masih kecil.

Yang paling indah, bila aku dan keluarga berhari raya ke rumah sahabatku (selepas beberapa bulan aku mendirikan rumahtangga) kami dihidangkan Laksa Johor, air tangan guruku. Kami bercerita panjang, dia masih lagi mengingati anak-anak murid yang lain dan bercerita padaku. Kalau mereka tahu ... tentu mereka akan berasa amat berbangga mempunyai guru seperti itu, yang tidak pernah melupakan anak-anak muridnya walaupun telah beberapa kali berpindah sekolah.

Pastinya setiap kali bertemu dengan classmate-ku itu aku akan bertanya..
"Bila cikgu nak masak laksa johor ha" ..hmm entahlah..
Aku memang tahu dia menghidapi salah penyakit kronik beberapa tahun yang lepas, tetapi kebertasan waktu dan tuntutan kerja hanya membenarkan aku bertanyakan khabar melalui adiknya. Cuma sekali aku bertemu dengannya bila rakanku melangsungkan perkahwinan Sehinggalah beberapa bulan yang lepas, rakanku melangsungkan perkahwinan pada 2006. Cukup bergaya dengan kurung jingga sekeluarga. Noktah... tiada lagi pertemuan selepas itu.

Sehinggalah beberapa bulan lepas (Oktober '09), sahabatku menyampaikan pesan melalui corong talian..

"Eh, kakak aku asik tanyakan ko.. shakey mana.. pastu dia selalu citer pasal ko"
"Datanglah melawat dia... dia da tak boleh jalan dah"
"Kanser tu dah merebak ke saraf.. dah ada spots"

Aku terdiam... sampai begitu sekali penyakit itu merebak.
Disebabkan keluarga aku mengenali keluarga sahabatku, aku membawa mereka melawat guruku yang hanya mampu duduk diatas katil.

Sebelum kami sampai, aku sudah pun membuat panggilan ke rumahnya memberitahu tentang surprise kami pada anak perempuannya, Yaya. Memang dia terkejut dengan kehadiran kami, mungkin memberi semangat baru buatnya.

Dia, sama seperti yang dulu.. sentiasa tersenyum, ceria dan sporting. Cukup mudah berbicara dengannya, bercerita tentang masa lalu kami. Sukar digambarkan, seolah-olah dia seorang yang sihat dan bertenaga, malah kulitnya dan rambutnya tidak terjejas dengan rawatan yang diambil. Sungguh! Tiada perubahan langsung!

Itulah kali terakhir aku bertemu dengannya. Perkara ini pernah aku war-warkan didalam FB dahulu, pada teman-teman sepersekolahan denganku. Jadual yang berbeza membuatkan kami sukar mengatur pertemuan beramai-ramai dengan guru kami.

Tapi itu semua tinggal kenangan..

Petang Sabtu 02/01/2010 sewaktu kami sekeluarga bersantai di Tugu Negara, aku dikejutkan dengan berita permergian guruku ke alam baka. Hujan petang itu seolah-olah memberitahu sesuatu. Teresak-esak sahabatku menyampaikan berita yang membuatkan aku kehilangan kata-kata.

Pagi Ahad, 03/01/2010 arwah dikapan dan disembahyangkan di Masjid UPM, sungguh ramai umah Muhammad. Aku dan suami (yg rela hati pagi itu menemani aku) sempat menyelitkan diri ditengah-tengah khalayak.

Alhamdulillah, kuasa Tuhan. Perjalananku dipermudahkan. Dari jauh aku dapat melihat arwah dimandikan oleh anak-anaknya serta saudara terdekat. Ringan kaki melangkah ke dalam untuk melihat dengan lebih dekat. Disitu aku bertemu dengan sahabatku. Kami berpelukan, air mata dengan sendiri berjuraian. Kami KEHILANGAN! Sungguh aku tidak dapat menahan, tanpa dipinta ia mengalir dengan sendirinya.

Seolah-olah arwah sedang tidur dengan tenang, raut wajah yang membayangkan tiada kesakitan lagi yang perlu dipertanggungkan! Kulihat Yaya dan dua adik lelakinya amat tabah sewaktu memandikan ibunya. Tiada air mata berjuraian. Aku begitu kagum dengan mereka.

Benar, urusanku dipermudahkan Allah. Akulah yang terakhir yang dapat mencium dahi, pipi dan dagu arwah sebelum disembahyangkan. Malangnya kami (suami isteri) tidak dapat menghantar jenazah ke persemadiannya atas tuntutan kerja yang lain.

"Dia tak pernah merungut sakit, she had never complaint!! ."
"Selalu tersenyum, aku akan rindukan dia lepas ni.. jaga dia waktu malam, tukarkan lampin dia... "
"Sepatutnya aku ada kat hospital, tapi aku keje"
"Dia tak pernah mengeluh, takde apa2 perubahan.. doktor memang da cakap they can't do much"
"Tapi tak aspect so soon... takde apa-apa tanda langsung"
"Dia ada cakap bahagian liver dia semakin sakit, tapi tak pernah mengaduh.. mungkin sebab infection kat liver dia kut, other than that.. none!"
"Cuma lately dia banyak termenung"
"Shakey, dia selalu tanyakan kau.. selalu citer pasal kau (hoping you was there).."

Aku teramat sedih bila mendengar semua itu... sehingga ke saat ini aku masih lagi teringat akannya. Seseorang yang amat sukar dicari ganti!!

Buat Allahyarhamah Zaini Bt Mohd Noor... jasamu tetap akan dikenang..
Saya akan merindui cikgu selagi hayat dikandung badan...

Al- Fatihah

They are Great!

 

Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Designed by SimplyWP | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez